Home Utama Isu guru kontrak: KPM ambil tindakan sewajarnya

Isu guru kontrak: KPM ambil tindakan sewajarnya

Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin telah mengarahkan supaya isu guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak mereka pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.

Radzi menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter hari ini berkata, perkara berkaitan kegusaran guru yang akan tamat kontrak COS itu dibangkitkan menerusi ruangan komen di laman media sosial beliau baru-baru ini, dan ia sememangnya berada dalam perhatiannya.

“Saya telah arahkan supaya perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera. KPM (Kementerian Pendidikan) dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas proses berkenaan selesai.

Katanya KPM prihatin mengenai perkara yang dibangkitkan masyarakat tentang pendidikan dan komited untuk melakukan yang terbaik demi kesejahteraan pendidikan generasi pewaris negara. – MalaysiaGazette