Home Nasional Kes kematian pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang masih disiasat

Kes kematian pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang masih disiasat

Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kematian seorang kakitangan Hospital Pulau Pinang pada  17 April lalu.

Pengarahnya Dr. Ma’arof Sudin berkata, kes berkenaan masih sedang disiasat oleh polis.

Beliau mengesahkan mendiang merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke negeri Pulau Pinang dan ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu.

“Mendiang telah ditemui jatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April 2022 dan pihak JKNPP ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mendiang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan beliau menyusul selepas sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan mengenai kes kematian itu.

Tambah beliau, kes berkenaan kini berada di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengarahkan bedah siasat dijalankan ke atas simati.

Bedah siasat telah dilakukan di Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang tetapi laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal.

Laporan akhir ini  akan dikemukakan kepada PDRM untuk membantu siasatan mereka.

“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini.

“Jabatan ini dan pihak Hospital Pulau Pinang akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM dalam siasatan selanjutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette