GOMBAK – Lemang antara salah satu juadah yang selalu menjadi buruan orang ramai, tidak kira di kampung atau di kota, lebih-lebih lagi sewaktu menyambut hari lebaran.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan tidak lengkap berhari raya jika tidak menjamah lemang dan rendang.
Wartawan MalaysiaGazette berkesempatan ke Lemang Daun Lerek Greenwood, Gombak, dekat sini, setelah mendengar bualan mengatakan kedai tersebut sering mendapat tumpuan orang ramai setiap tahun untuk mendapatkan lemang yang ternyata berbeza daripada lemang-lemang lain.
Salah seorang pelanggan, Mariam Bee Ibrahim, 45, berkata, sebelum singgah ke kedai tersebut, beliau bersama suaminya ke rumah terbuka rakannya dan menikmati lemang.
Kesedapan lemang itu membuatkannya bertanya kepada tuan rumah di mana beliau memperoleh lemang yang sesuai dengan tekaknya itu, ujarnya.
Tambah beliau, sejurus tuan rumah memberitahu lokasi, dia dan suami terus ke Lemang Daun Lerek Greenwood, Gombak untuk dibawa pulang ke rumah.
“Sejam saya tunggu untuk beli ini (lemang), memang berbaloi tunggu hampir sejam sebab memang sedap.
“Lemang ni senang nak potong, kalau lemang daun pisang tu susah sampai nak kopek pun kena panggil abang (suami),” katanya.
Bagi Hasanuddin Punari, 40, beliau merupakan pelanggan tetap Lemang Daun Lerek Greenwood sejak tiga tahun lalu, tidak kiralah sewaktu hari raya mahupun pada hari biasa.
Katanya, selagi ada rendang di rumah, selagi itu beliau akan menikmati makanan kegemarannya itu kerana isinya lebih lembut berbanding lemang daun pisang.
“Kadang lemang yang biasa tu dia hangus, jadi keras. Dekat sini jarang dapat yang ada kerak tu, memang lembut”
Beliau dan anak-anaknya yang jatuh cinta dengan lemang itu tidak pernah bertukar selera sejak pertama kali menikmati lemang daun lerek.
Hasanuddin yang juga peminat tegar kelab gergasi Inggeris, Liverpool hari ini membawa pulang dua batang lemang daun lerek itu sebagai peneman menonton perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Real Madrid menentang Manchester City pada jam 3 pagi esok.
Syahidah Abdullah, 28, ke gerai untuk membeli lemang daun lerek kerana rindu pada juadah yang dibelinya itu pada hari raya pertama.
Dek kerana kedai itu hanya membenarkan seorang pelanggan membawa pulang tiga batang lemang, beliau ke kedai bersama suaminya untuk mendapatkan enam batang lemang.
Beliau berkata, kesemua lemang itu akan dimakan bersama ahli keluarganya.
Nur Azian Misri, 28, yang baru sahaja bercuti selepas tiga hari bekerja sempat singgah ke gerai Lemang Daun Lerek Greenwood untuk membawa pulang kiriman orang tuanya di Sabak Bernam, Selangor.
Nur Azian berkata, beliau yang saban hari lalu di hadapan gerai itu melihat ramai pelanggan beratur dan ada ketika mereka terpaksa beratur melebihi perkarangan kedai.
“Saya dah banyak kali lalu, tengok orang ramai beratur, so saya belilah”
“Orang ramai mesti tahu benda tu sedapkan? Kalau tak mesti orang tak beratur kan!” jelasnya.
Tambah beliau, rakan-rakan sekerjanya banyak mengesyorkan Lemang Daun Lerek kerana mudah untuk disediakan. – MalaysiaGazette