Home Utama 10 rakyat Malaysia jadi scammer di Kemboja rayu dibawa pulang

10 rakyat Malaysia jadi scammer di Kemboja rayu dibawa pulang

Michael Chong bersama pegawai penasihat undang-undang MCA menunjukkan gambar mangsa-mangsa warga tempatan yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang kini ditahan di Pusat Tahanan sementara Imigresen Kemboja.

KUALA LUMPUR – ”Saya nasihatkan orang Malaysia jangan terjerat dengan iklan gaji dalam dolar Amerika di media sosial Facebook. Ia hanya ‘gula-gula’ dan tidak betul,” kata salah seorang daripada 10 mangsa pemerdagangan manusia yang ditahan di Kemboja.

Lelaki itu bersama sembilan lain ini telah dipaksa bekerja sebagai scammer penipuan dalam talian di negara tersebut.

”Kami kini ditahan di Kem Tahanan Sementara Imigresen dan merayu agar bawa kami pulang ke tahanair segera,” katanya dalam sidang video itu semasa berhubung dengan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong dengan disaksikan pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, lapan warga Malaysia kini ditahan di Kem Tahanan Sementara Imigresen Kemboja manakala dua lagi bakal pulang dalam masa terdekat.

Menceritakan pengalamannya, mangsa tersebut berkata, dia kesal kerana telah berjaya diperdayakan dengan iklan gaji lumayan sindiket tersebut.

Katanya, sejurus mendarat di Kemboja segala dokumen mereka dirampas dan dilayan teruk serta dipaksa bekerja menjadi scammer dalam talian.

Mereka yang diperdaya itu berasal dari Pahang, Perak, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Chong yang kesal dengan kejadian ini selepas menyelamatkan 16 rakyat Malaysia di Kemboja 18 April lalu berkata, Duta Malaysia ke Kemboja, Ldeen Husaini Mohd Hashim telah mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja untuk memudahkan segala urusan pembebasan bagi membawa pulang lapan lagi.

“Kedutaan Malaysia di Kemboja sedang bekerja keras mengejar masa bagi memastikan warga Malaysia yang diselamatkan dari sindiket itu dibawa pulang dengan segera,” ujarnya.

Mereka yang ditahan itu berusia antara 14 hingga 40 tahun.

Segelintir daripada mereka dibawa ke Kemboja menggunakan laluan tikus dan ada yang menggunakan penerbangan.

Chong berkata, setakat ini lebih 40 keluarga telah tampil mengadu bahawa ahli keluarga mereka terperangkap di Kemboja kerana tertipu dengan iklan kerja.

Lebih mengejutkan apabila ada dalam kalangan ahli keluarga menerima tuntutan wang tebusan sejak April lalu.

”Ikut pecahan lapan kes tuntutan wang tebusan adalah daripada Myanmar iaitu antara RM50,000 hingga RM100,000 seorang manakala RM100,000 dan RM300,000 dari Kemboja dan Thailand.

”Ada dua remaja sebelum itu berjaya dibebaskan selepas ibu bapanya membayar wang tebusan RM10,000,” dedahnya.

Chong kesal apabila ada ibu bapa yang enggan mendengar nasihatnya kerana lebih mempercayai iklan gaji lumayan.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada individu yang berasal dari kampung dan kurang berpelajaran.

Beliau menasihatkan mana-mana warga Malaysia yang terperangkap dengan sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja agar lari mencari perlindungan di mana-mana balai polis berhampiran atau syarikat Malaysia untuk mendapatkan bantuan segera. – MalaysiaGazette