Home Nasional Dakwaan tambang ECRL 6 kali ganda tidak berasas – Wee Ka Siong

Dakwaan tambang ECRL 6 kali ganda tidak berasas – Wee Ka Siong

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dakwaan tambang perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah enam kali ganda lebih tinggi berbanding tiket perkhidmatan udara.

Kata Ka Siong, dakwaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail itu adalah bersifat spekulatif dan tidak berasas langsung.

Tambah beliau, perbincangan masih berjalan di peringkat kerajaan bagi penetapan kadar tumbang penumpang ECRL untuk setara dengan tambang perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung. Penetapan kadar tambang ECRL berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat.

“Secara dasarnya kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kos Projek ECRL sepanjang 665 kilometer melibatkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek itu dijangka siap pada akhir 2026 dan beroperasi pada 2027.

Menurut Ka Siong, kerajaan tidak berhasrat untuk mengenakan tambang tinggi memandangkan ini adalah projek untuk rakyat.

Jelasnya, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum ia beroperasi selaras dengan keperluan Akta Pengangkutan Awam Darat dan Lesen Operator Keretapi bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai pengawal selia

Sementara itu, Ka Siong memberitahu, perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri-industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL. – MalaysiaGazette

Tambang ECRL: Kerajaan perlu cari ikhtiar demi kebaikan rakyat – Tok Him