Home Nasional Dua individu disyaki samun penyampai berita ditahan polis

Dua individu disyaki samun penyampai berita ditahan polis

Identiti suspek samun penyampai berita di damansara Perdana sehingga mangsa mengalami kecederaan berjaya dikenalpasti dan usaha mengesan dipergiatkan

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan dua individu yang disyaki menyamun seorang penyampai berita sebuah stesen televisyen di Damansara Perdana pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashahriman Ku Mahmood berkata, kedua-dua suspek lelaki dan perempuan yang berusia 31 dan 24 tahun itu diberkas di kawasan Puncak Alam, Shah Alam bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek berjaya membawa kepada rampasan beberapa barang-barang kes yang dipercayai hasil kejadian samun termasuk sebuah motokar yang digunakan oleh suspek dalam kes ini.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod penyalahgunaan dadah, 15 rekod jenayah dan dua rekod masih disenarai hitam bagi kes penyalahgunaan dadah @ masih dikehendaki (wanted person) bagi kes penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, semakan ke atas suspek wanita itu dia tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

Ujar beliau, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok untuk permohonan perintah reman bagi melengkapkan siasatan.

Menurut Ku Mashahriman, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan.

Terdahu beliau berkata, insiden samun itu disiasat polis susulan laporan yang diterima daripada mangsa berusia 34 tahun.

Katanya, tindakan pengadu cuba mengejar dan menangkap suspek ketika cuba melarikan diri dengan kereta Myvi hitam tular di laman media sosial melalui satu rakaman video berdurasi 30 saat yang dirakam dan dimuatnaik oleh pengguna laman sosial TikTok.

Dalam aduan itu, pengadu mendakwa, pada jam lebih kurang 3.40 petang hari kejadian beliau yang menuju ke arah keretanya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran kawasan Damansara Perdana melihat suspek sedang menendang cermin kereta sebelah penumpang hadapan hingga pecah.

Tambah beliau, suspek telah mengambil beg kerja milik pengadu yang mengandungi komputer riba dan barangan peribadi sebelum pengadu menjerit dan suspek cuba melarikan diri dengan menaiki kereta.

“Pengadu mengejar suspek yang cuba melarikan diri lalu berlaku pergelutan dan beg milik pengadu telah terjatuh dari motokar suspek. Dalam kejadian tersebut, pengadu telah mengalami kecederaan ringan di tangan dan lutut selain mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM500,” katanya. – MalaysiaGazette

Janna Nick rakam kejadian ragut depan mata