Home Nasional Enam pelanggan cedera, kereta rempuh restoran

Enam pelanggan cedera, kereta rempuh restoran

MELAKA – Enam pelanggan sebuah restoran termasuk dua kanak-kanak cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan yang memasuki ruang makan premis berkenaan di Jalan Puteri Hang Li Po, Bukit Baru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian jam 7.15 malam itu dipercayai berpunca apabila pemandu kereta jenis Perodua Kancil itu tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaannya merempuh masuk ke dalam restoran.

Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu lelaki berusia 66 tahun,  yang juga pelanggan restoran terbabit cuba menghidupkan enjin keretanya yang diletakkan di ruang parkir di hadapan restoran berkenaan.

Keadaan meja batu yang pecah akibat dirempuh sebuah kenderaan yang mengakibatkan enam pelanggan sebuah restoran termasuk dua kanak-kanak cedera.

“Setelah enjin dihidupkan, pemandu tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaannya terus merempuh ke dalam restoran sehingga melanggar beberapa meja makan batu termasuk tembok dinding restoran.

“Kemalangan itu turut mengakibatkan enam pelanggan berusia setahun hingga 56 tahun termasuk dua kanak-kanak masing-masing berusia setahun dan empat tahun cedera ringan.

“Semua mereka yang berasal dari Melaka, Johor dan Pulau Pinang menerima rawatan di Zon Hijau Hospital Melaka manakala pemandu Perodua Kancil tidak mengalami sebarang kecederaaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keadaan meja yang rosak akibat dirempuh sebuah kenderaan yang mengakibatkan enam pelanggan sebuah restoran termasuk dua kanak-kanak cedera.

Menurutnya, ketika kejadian, cuaca baik dan terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi bebas yang tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Rule 10LN 166/58.

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial melalui klip video berdurasi 50 saat yang menyaksikan suasana riuh beberapa pelanggan restoran yang trauma dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette