KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti tidak sabar untuk bersemuka dan berdebat secara langsung dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Najib menjawab ringkas terhadap berita yang menyiarkan laporan bahawa debat tersebut akan diadakah di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur.
“Khamis minggu depan. On!” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pejabat kedua-dua pemimpin itu berkata, debat tersebut akan bermula pada pukul 9 malam 12 Mei ini.
Perdebatan ulung kedua-dua pemimpin itu juga akan disiarkan secara langsung di media sosial serta saluran televisyen yang akan diumumkan kemudian.
Sementara itu pengikut Najib di Facebooknya juga teruja menanti detik pertembungan Ahli Parlimen Pekan itu dengan Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson.
“Dato memang on takut kem sebelah sana pulak last minit tarik diri,” usik Paul.
“Debat dan berhujah dengan fakta, kebenaran dan ilmiah DS,” Mohd. Khair Yusof beri semangat.
“Menang kalah bukan jadi persoalan (debat) yang penting kemenangan PRU-15 nanti harus dititikberatkan. PRU kian hampir,” kata Nezone Onezone memberi ingatan.
“Sembang je lebih ni. Nanti mai sakit macam-macam bila nak dekat tarikh debat,” sindir Irfan Noah.
Najib sebelum ini menyatakan persetujuan berdebat dengan Anwar mengenai usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).
Bekas Perdana Menteri itu menyatakan sudah meminta pasukan Anwar dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengaturkan dengan media jika berhasrat menyiarkannya secara langsung. – MalaysiaGazette