Home Nasional Laluan Kuantan dijangka sesak mulai esok

Laluan Kuantan dijangka sesak mulai esok

Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin.

KUANTAN – Aliran trafik dijangka sesak di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan Jalan Kuantan-Segamat petang esok sehingga Ahad ini berikutan orang ramai mula pulang untuk memulakan tugas selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri pada minggu ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, antara lokasi yang dijangka mengalami kesesakan ialah Plaza Tol Kuantan dan Plaza Tol Gambang menghala ke Kuala Lumpur.

“Pertambahan kenderaan dijangka berlaku menuju arah barat dan selatan tanah air. Pengguna jalan raya juga akan menggunakan laluan Kuantan-Segamat untuk pulang ke selatan tanah air seperti Johor Bahru,” katanya selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Op Selamat 18 di Hentian Rehat dan Rawat Gambang, dekat ini, hari ini.

Sehingga 4 Mei lalu, sebanyak 561 kemalangan dilaporkan dan sejumlah 11,112 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik di negeri ini.

Tinjauan MalaysiaGazette pada petang tadi mendapati kenderaan semakin banyak di LPT namun aliran trafik terkawal.

Keadaan agak sesak di hentian rehat dan rawat Kuantan dan Gambang namun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membantu menyuraikan kesesakan. – MalaysiaGazette