Home Ekonomi PNB, Sime Darby Plantation bekerjasama tangani isu buruh paksa

PNB, Sime Darby Plantation bekerjasama tangani isu buruh paksa

 

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) bekerjasama dengan Sime Darby Plantation Bhd berhubung langkah yang diambil untuk menyelesaikan isu buruhnya yang dihadapi oleh pengeluar minyak sawit terbesar di dunia itu.

Sime Darby Plantation (SDP) adalah antara pengeluar sawit dan sarung tangan getah Malaysia yang telah mendapat perhatian berhubung dakwaan melakukan penganiayaan terhadap pekerja asing.

Meskipun begitu, lonjakan harga minyak sawit mendorong sahamnya naik 40% tahun ini, sekali gus meletakkan nilai pegangan 56.4% PNB ke atas SDP lebih AS$4.7 bilion (RM20.43 bilion).

Pada Januari lalu, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat berkata, ia akan merampas minyak sawit dan produk berkaitan SDP kerana ia mempunyai maklumat yang mencukupi berhubung dakwaan produk syarikat tersebut menggunakan buruh paksa.

Sejak itu, SDP telah mengambil langkah untuk menambah baik dasar hak buruhnya, termasuk bekerjasama dengan CBP AS dan melantik perunding perdagangan beretika bebas untuk menilai kemudahan tempatannya.

Minggu lalu, ia menyerahkan laporan komprehensif kepada CBP AS yang merangkumi operasi domestiknya, lengkap dengan indikator buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan keterangan struktur tadbir urus yang lebih baik

“Kami digalakkan oleh perkembangan ini dan komitmen serta usaha syarikat dalam menyelesaikan isu buruh yang sedang berjalan dan akan terus memantau perkembangan dengan teliti,” kata PNB dalam maklum balas melalui e-mel kepada Bloomberg. – MalaysiaGazette