KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy sekali lagi tampil mempersoalkan isu amalan buruh paksa di negara ini.
Kali ini pemimpin DAP itu menyoal Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang dikatakan kecewa dengan cubaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengharamkan produk syarikat perladangan seperti Felda Global Ventures (FGV) dan Sime Darby Plantations.
Kedua-dua syarikat itu adalah konglomerat gergasi perladangan di Malaysia.
Hari ini pula soal Ramasamy, sejauh mana Zuraida akan menekan pihak berkuasa AS dalam menangani perkara ini yang masih belum dapat dilihat.
“Tidak seperti Saravanan yang lebih diplomatik dan tidak sabar-sabar untuk menjelaskan situasi buruh di negara ini, Zuraida terperangkap dalam belantara politik, dia menyatakan berusaha secara agresif untuk menarik balik perintah larangan dikenakan ke atas produk perladangan.
“Kedua-dua menteri itu tidak perlu bersetuju dengan klasifikasi buruh paksa AS, tetapi pastinya mereka tidak dapat menafikan kewujudannya dalam pelbagai bentuk laksanaan di negara ini terutamanya dalam sektor yang bergantung kepada tenaga buruh yang murah dan mudah dibentuk.
“Seperti yang telah saya nyatakan berkali-kali pada masa lalu, buruh paksa bukanlah penyimpangan tetapi aspek endemik ekonomi negara yang bergantung kepada tenaga buruh yang murah dan mudah diperoleh.
“Ia aneh apabila Saravanan dan Zuraida dalam keghairahan mereka menyembunyikan amalan buruh paksa di Malaysia malah tidak menyentuh isu penggunaan buruh paksa di AS,” tulisnya hari ini.
Sambung beliau lagi, amalan buruh paksa bukanlah sesuatu yang unik hanya di Malaysia, ia juga diamalkan di negara membangun yang lain.
“Malah, buruh paksa juga boleh didapati di negara perindustrian maju seperti AS dan Eropah. Bagaimanapun, dominasi amalan ini lebih ketara di negara membangun daripada negara maju.
“Penggunaan beribu-ribu pekerja asing dari negara Amerika Latin di ladang AS dan kawasan lain adalah contoh klasik buruh paksa.
“Para pendatang bekerja berjam-jam untuk ganjaran yang sedikit. Malah syarat gaji minimum AS mungkin tidak diguna pakai kepada mereka. Sekiranya ini bukan satu contoh amalan buruh paksa, adakah ia dikira sebagai buruh percuma?
“Saya tidak pasti sama ada kedua-dua menteri kita benar-benar faham mengapa AS mengharamkan produk dari perladangan dan juga dari pertubuhan lain. Adakah kerana buruh paksa atau beberapa sebab lain yang tidak disebut,” soalnya.
Sebelum ini, dalam beberapa siri tulisan beliau di Facebook rasminya, Ramasamy pernah mengkritik Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan susulan kenyataan beliau meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan AS di Malaysia untuk memaklumkan kepada agensi berkaitan sebelum menyiasat buruh paksa. -MalaysiaGazette
Berhenti keluar kenyataan buruh paksa jika tidak faham – Saravanan