Home Nasional Sultan Ibrahim kurnia darjah kebesaran tertinggi kepada PM Singapura

Sultan Ibrahim kurnia darjah kebesaran tertinggi kepada PM Singapura

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memakaikan darjah kebesaran kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana Besar Johor, hari ini. Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor, Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Darjah kebesaran itu membawa gelaran ‘Datuk’.

Majlis penuh istiadat tersebut berlangsung di Istana Besar Johor, Johor Bahru hari ini.

Pada majlis yang sama Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) kepada isteri Hsien Loong, Ho Ching.

Darjah kebesaran tersebut membawa gelaran Datin Paduka.

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Berangkat sama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam serta keluarga diraja Johor.

Menurut Facebook rasmi Sultan Johor, Istana Johor sebelum ini pernah mengurniakan darjah kebesaran kepada beberapa pemimpin republik itu sebagai lambang persahabatan dan hubungan erat antara Johor dan Singapura.

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Darjah kebesaran sama pernah dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew pada 9 April 1984 bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-52 Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.- MalaysiaGazette