Home Sukan Berat kepala fikir Kedah tewas dengan Melaka United – Penaung KDA FC

Berat kepala fikir Kedah tewas dengan Melaka United – Penaung KDA FC

Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar

KUALA LUMPUR – Kekalahan skuad Sang Kenari pada minit akhir perlawanan semalam ketika menentang Melaka United adalah tidak munasabah.

Penaung Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, beliau tidak dapat menerima kekalahan 2-3 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

“Kepala dah mula berat memikir pasukan Kedah FC yang kalah beberapa kali termasuk perlawanan semalam. Kekalahan 2-3 semalam adalah tidak wajar dan tidak munasabah. Tidak dapat diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Daud, semua pihak yang terbabit perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan semalam dan melakukan perubahan segera.

“Semua orang mesti bertanggungjawab. Stamina, taktikal, kreativiti, impian, semua ini kena semak semula,” ujarnya.

Tambahnya, kekalahan KDA FC yang tewas beberapa kali sebelum ini termasuk dibenam oleh Sabah FC 4-0 perlu diambil pengajaran.

“Kedah FC kalah beberapa perlawanan, dah rebah berkali-kali. Semoga Kedah FC bangkit semula kerana dalam mantra kehidupan, jika rebah sekali bangkit akan berkali-kali,” ujarnya.

Keputusan tersebut menyaksikan Negeri Sembilan menduduki tangga pertama dengan 14 mata selepas enam perlawanan, diikuti juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai 12 mata selepas empat aksi, Sabah (12 mata, enam perlawanan) dan KDA (12 mata, tujuh perlawanan). – MalaysiaGazette