KUALA LUMPUR – Media semakin banyak melaporkan bagaimana rakyat Malaysia diperdaya ke luar negara termasuk Myanmar, Kemboja, malahan Australia untuk bekerja.
Walaupun keadaan setiap kes adalah berbeza, tetapi pokoknya adalah sama iaitu mereka ditawarkan kerja yang berlainan dengan apa yang dijanjikan.
Ada yang ditawarkan gaji lumayan, tetapi berakhir dengan penghambaan di Kemboja, manakala ada yang dijanjikan jawatan pegawai perkhidmatan pelanggan, tetapi menjadi pemetik buah di Australia.
Terbaharu, China Press melaporkan, seorang pemuda Malaysia tertipu untuk bekerja di Korea Selatan, tetapi akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun.
Pemuda itu sampai di Korea Selatan tiga tahun lalu untuk bekerja dalam penghantaran dan pemungutan barang.
Mimpi ngeri bagaimanapun berlaku apabila ‘kilangnya’ diserbu polis beberapa bulan kemudian dan mangsa menyedari bahawa tempat kerjanya sebenarnya merupakan markas penipuan.
Mangsa dipenjarakan selama dua tahun di Korea Selatan, gajinya tidak dibayar sindiket sementara pihak berkuasa Malaysia menyenarai hitam namanya dan melarangnya keluar negara.
Kata mangsa, dia pada asalnya menyangka boleh bekerja sambil bercuti di Korea Selatan dan semua urusan perjalanannya dikendalikan seorang kawan.
“Saya pergi ke Korea Selatan walaupun tidak memahami bahasa Korea. Semasa bekerja, saya selalu disuruh menghantar barang, tetapi saya tidak pernah menyemak apa yang ada di dalamnya.
“Rupa-rupanya apa yang saya bawa adalah barangan larangan dari kasino dan gaji saya dibayar menggunakan wang haram yang dibasuh,” katanya. – MalaysiaGazette