Home Utama Mayat lelaki reput ditemukan

Mayat lelaki reput ditemukan

Mayat lelaki warga emas yang ditemukan reput di rumah pusakanya di Jalan Hj Marip, Kampung Londang, Masjid Tanah di sini, Khamis lalu.

ALOR GAJAH – Mayat seorang warga emas yang ditemukan di rumah pusakanya di Jalan Hj Marip, Kampung Londang, Masjid Tanah, dekat sini, pada Khamis lalu disahkan sudah reput.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 63 tahun itu yang dipercayai meninggal dunia sejak sebulan lalu sebelum ditemui penduduk kampung yang melaporkan kejadian kepada pihak polis pada pukul 6.30 petang kelmarin.

Menurutnya, hasil siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian menemui mayat tersebut dalam keadaan mereput terbaring di atas lantai rumah yang dalam keadaan berselerakan dan seperti tidak didiami.

“Berdasarkan hasil proses bedah siasat, kita percaya mangsa telah meninggal dunia antara dua hingga empat minggu berdasarkan proses pereputan.

“Pengecaman mayat juga telah dibuat oleh isteri si mati dan dimaklumkan mangsa menetap di rumah pusakanya itu seorang diri sekitar Februari lalu selepas pulang dari tinggal bersama anaknya di Seremban sebelum ini,” katanya.

Arshad berkata, punca kematian masih tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang sudah mereput namun beberapa spesimen akan dirujuk ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Mayat lelaki warga emas yang ditemukan reput di rumah pusakanya di Jalan Hj Marip, Kampung Londang, Masjid Tanah di sini, Khamis lalu.

“Bagaimanapun hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan penemuan mayat lelaki warga emas itu di rumahnya dan polis akan mengeluarkan kenyataan lengkap selepas selesai proses bedah siasat. – MalaysiaGazette