Home Nasional Trafik menghala ibu kota sesak, orang ramai mula pulang selepas cuti Aidilfitri

Trafik menghala ibu kota sesak, orang ramai mula pulang selepas cuti Aidilfitri

Trafik sesak di Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah selatan bermula Plaza Tol Juru menghala ke Bandar Cassia hari ini.

SEBERANG PERAI – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara – Selatan dari arah Plaza Tol Juru menghala selatan mengalami kesesakan susulan orang ramai mengambil peluang tol percuma bermula tengah malam tadi hingga esok untuk pulang ke rumah masing-masing selepas cuti Aidilfitri.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati trafik mula sesak bermula dari Plaza Tol Juru menghala ke Bandar Cassia.

Selain itu, wartawan MalaysiaGazette turut terperangkap selama satu jam 30 minit untuk perjalanan sejauh 20 kilometer dari plaza Tol Juru ke Plaza Tol Bukit Tambun.

Menurut pengguna jalan raya, Noranisah Romlee, 47, dia dan keluarga memulakan perjalanan dari Alor Setar bermula jam 12 tengah hari namun sudah empat jam atas jalan mereka baru sampai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap.

Keadaan trafik sebelum
Plaza Tol Juru.

“Kami tempuh kesesakan jalan raya di tiga lokasi iaitu bermula dari Alor Setar kemudian di Plaza Tol Sungai Dua dan kini di Juru pula.

“Kami memang ambil peluang pulang kerana tol percuma memadangkan peluang itu tidak digunakan ketika pulang ke kampung baru-baru ini.

“Namun tidak sangka kami perlu berdepan situasi (sesak) sebegini. Ini pun kami berhenti di R&R untuk tukar pemandu, nasib saya dan suami masing-masing boleh memandu jadi tak letih sangat,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke Banting, Selangor.

Sementara itu, laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik tinggi di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Alor Setar ke Pendang sejauh 2.9 kilometer dan Bertam ke Sungai Dua sejauh 2.7 kilometer.

Aliran kenderaan juga dilaporkan perlahan dari Kuala Kangsar ke Sungai Perak sejauh 7.5 kilometer manakala Bidor ke Sungkai sejauh 15.8 kilometer.

Semalam, media melaporkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan berlaku peningkatan kenderaan di lebuh raya utama menjelang tengah malam Sabtu susulan pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang bermula 7 Mei hingga 11.59 malam pada 8 Mei. – MalaysiaGazette