PONTIAN – Pucuk pimpinan UMNO masih belum berbincang mengenai tindakan yang akan diambil terhadap bekas Pengerusi Lembaga Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung tindakannya mengadakan pertemuan dengan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan baru-baru ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan dan pandangan sebelum diluluskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak ada membuat sebarang perbincangan lagi tentang perkara ini. Kita tunggulah mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ataupun mesyuarat pengurusan untuk membincangkan apa yang sedang dibuat oleh beliau.
“Namun apabila sudah ada keputusan muktamad dibuat nanti, UMNO setiap negeri mestilah patuh terhadap ketetapan itu,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian, di Benut, Pontian, hari ini.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan pertemuan dan perbincangan diadakan antara Ahli parlimen Gua Musang itu dengan pimpinan Amanah Kelantan yang diketuai Pengerusinya, Muhammad Hussin di Kota Bharu.
Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed dalam satu tulisan di Facebooknya memberi gambaran satu usaha sedang digerakkan untuk menggabungkan pelbagai parti, pertubuhan bukan kerajaan dan anak-anak Kelantan yang berkebolehan untuk menawarkan satu kerajaan alternatif kepada rakyat Kelantan selain kerajaan Pas.
Menurut Ahmad, setakat ini, UMNO mengambil pendirian bergerak secara solo seperti mana yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor. – MalaysiaGazette