Home Dunia 26 maut dalam letupan besar di Hotel Saratoga

26 maut dalam letupan besar di Hotel Saratoga

Hotel Saratoga yang musnah selepas berlaku letupan besar. Foto Reuters

HAVANA – Sekurang-kurangnya 26 orang maut dan lebih 60 lagi dimasukkan ke hospital selepas letupan besar menggegarkan salah sebuah hotel lima bintang paling eksklusif di Cuba.

Dipercayai sebuah lori tangki gas yang diletakkan di luar Hotel Saratoga di Old Havana terbakar, menyebabkan letupan yang memusnahkan beberapa tingkat bangunan itu.

Hotel bersejarah itu dalam persediaan untuk dibuka semula selepas pandemik dalam empat hari.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mengesan mangsa yang terperangkap di bawah serpihan.

Presiden Cuba berkata, mereka yang maut termasuk seorang wanita hamil dan seorang kanak-kanak.

Mereka yang cedera sedang dirawat di hospital berdekatan.

Yazira de la Caridad, yang tinggal satu blok dari hotel itu, memberitahu CBS News dia ” menyangka letupan ituadalah gempa bumi”.

Saksi berkata, mereka melihat kepulan asap hitam dan awan debu berkepul ke langit susulan letupan itu.

Sebuah sekolah yang terletak betul-betul di belakang hotel tidak terjejas dan semua kanak-kanaknya telah dipindahkan dengan selamat.

Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel telah melawat tapak kerosakan, yang terletak bertentangan dengan bangunan kongres lama kerajaan.

Presiden berkata: “Ia bukan bom atau serangan, ia adalah kemalangan yang malang.”

Insiden itu berlaku ketika pelancongan di negara itu bangkit semula daripada dua tahun sukar yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Hotel Saratoga, sebuah mercu tanda di daerah kolonial ibu negara, telah ditutup untuk pengubahsuaian sepanjang tempoh ini.

Bangunan abad ke-19 itu sinonim di Havana dengan selebriti yang melawat – selepas bintang seperti Madonna, Beyonce dan Mick Jagger tinggal di sana Amerika Syarikat dan Havana menjalinkan semula hubungan di bawah Presiden Barack Obama. – BBC