Home Nasional Rancak merempit malam Syawal ke-7, 50 individu ditahan

Rancak merempit malam Syawal ke-7, 50 individu ditahan

50 mat rempit ditahan ketika leka beraksi di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran pantai Seagate, Bayan Lepas, Pulau Pinang awal pagi tadi.

BAYAN LEPAS – Pelajar sekolah serta penuntut kolej antara 50 individu yang ditahan merempit serta melakukan aksi berbahaya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran pantai Seagate di sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu membawa kepada tangkapan mereka berusia 16 hingga 25 tahun yang sedang leka melakukan aksi zig-zag, wheelie serta superman menggunakan motosikal masing-masing.

Turut ditahan beberapa wanita yang merupakan pembonceng mat rempit terbabit.

Zafri.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Zafri Zolkapli berkata, operasi yang membabitkan kekuatan 23 pegawai dan anggota yang diketuai Pengawai Turus Penguatkuasa JSPT negeri, Asisten Superintendan Mazlan Fadzilah itu dilakukan bagi menangani masalah samseng jalanan yang dilihat semakin berleluasa.

Jelas beliau, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkaitan kegiatan mat rempit tersebut yang menunggang motosikal secara berbahaya selain mengubah suai ekzos hingga mengeluarkan bunyi bising.

“Kami lakukan operasi ini bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat setiap kali hujung minggu dan cuti am.

Zafri memeriksa motosikal yang diubah suai untuk kegiatan merempit.

“Golongan berkenaan sering melakukan pelbagai aksi bahaya dan mengubahsuai motosikal yang jelas membahayakan diri sendiri juga pengguna jalan raya lain.

“Budaya ini menjadi trend malah mereka dilihat tidak serik walaupun beberapa kali diambil tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan yang sama,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan awal pagi tadi.

Menurut Zafri, sebanyak 50 motosikal serta dua buah kereta disita dalam operasi tersebut.

“Selain itu, kita juga mengeluarkan 150 saman atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang serta pemandu kereta terbabit.

“Rata-rata mereka didapati mengubah suai enjin dan ekzos motosikal yang dipercayai untuk tujuan merempit.

Kesemua suspek diarahkan tolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.

Tambah Zafri, pihaknya akan melaksanakan operasi seumpama itu secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya.

“Suka saya ingatkan orang awam khususnya anak muda agar menghentikan kegiatan tidak bermoral dan sia-sia ini demi kebaikan bersam,” ujar beliau. – MalaysiaGazette