Home National Rasa lebih selamat pakai pelitup muka – Orang ramai

Rasa lebih selamat pakai pelitup muka – Orang ramai

Orang awammasih mengekalkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan.

JOHOR BAHRU- Pemakaian pelitup muka sudah menjadi norma baharu dan jika tidak pakai atau terlupa sekali pun akan menyebabkan rasa janggal.

Itu antara reaksi orang awam ketika ditemui selepas seminggu Kementerian Kesihatan Malaysia memutuskan pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor), tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei lalu.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati orang ramai memilih untuk kekal memakai pelitup muka di luar bangunan meskipun kerajaan telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemakaiannya hampir seminggu.

Ibu kepada tiga orang anak, Raja Nurul Antasha Raja Zaman,39, berkata,  walaupun dia beliau dan suami termasuk anaknya telah lengkap menerima vaksin tetapi pemakaian pelitup muka dilihat sudah sinonim dengannya.

 

Raja Nurul Antasya

Tegasnya, apa yang penting kesihatan ialah kesihatan anak-anaknya.

“Saya memilih untuk terus pakai mask ini kerana masih risau dengan penularan Covid-19 lebih-lebih lagi pada musim perayaan lebih-lebih lagi ia menjadi tahun pertama kita berkumpul sanak saudara.

“Kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku. Walaupun anak saya berumur 14 tahun dan 8 tahun sudah menerima vaksin dan saya serta suami pun sudah mendapat booster tetapi bagi saya masih belum bersedia untuk menanggalkan pelitup muka.

“Mungkin pemakaiannya sudah sebati dan untuk kembali seperti dahulu (tanpa pelitup muka) mungkin makan masa,” sambil berkata anak-anaknya juga tidak ada masalah memakai pelitup muka.

Bagi pekerja swasta, Azhar Ulizar Bunizar, 47, pula menyifatkan pemakaian pelitup muka pada masa ini masih lagi relevan.

Azhar Ulizar

Bagaimanapun ianya terpulang kepada kehendak individu untuk memilih untuk terus  menggunakannya atau bergantung kepada kelonggaran yang diberikan kerajaan..

“Saya rasa ianya selamat,” katanya yang masih selesa memakai pelitup muka untuk ke mana-mana.

Sementara itu, bagi anak muda seperti Taufik Salimin,33, juga mengakui selesa menggunakan pelitup muka untuk menjaga kesihatan.

Taufik Salimin

Menurutnya, memandangkan Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya, dia tidak ada masalah untuk terus memakai pelitup muka terutama ketika di berada di luar rumah.

Lagipun dengan pelbagai pelitup muka di pasaran, penggunaannya semakin selesa walaupun pada asalnya untuk pencegahan.

“Saya memilih kekal memakai pelitup muka sebab sudah selesa dan diyakini kebersihannya kerana habuk debu tidak dapat masuk ke badan kita dengan mudah.

“Saya pun nak amalkan norma baharu dan mahu jadikan sebagai satu gaya fesyen kerana sekarang banyak pelitup muka yang menampilkan pelbagai corak,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan pemakaian pelitup muka di kawasan dalam premis bangunan di sekitar Johor Bahru ini mendapati 100 peratus orang ramai masih mematuhi peraturan itu sekali gus membuktikan rakyat peka dengan keselamatan mereka.

Pada 27 April lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, berkuatkuasa 1 Mei 2022, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan sebaliknya sebagai pilihan buat penduduk negara ini.

Kelonggaran itu selepas semakan semula langkah kawalan semasa Covid-19 dalam Fasa Peralihan ke Endemik.

Bagaimanapun, katanya, pemakaian pelitup muka adalah wajib sekiranya berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk e-hailing.- MalaysiaGazette