TUMPAT – Polis Kelantan menahan dua individu bagi membantu siasatan kes rompakan wang tunai bernilai RM1 juta serta barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas dekat sini, pada Khamis (5 Mei) lepas.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhammad Zaki Harun berkata, lelaki dan wanita tempatan berusia 30-an itu ditahan sehari selepas kejadian (6 Mei) dan kini direman hingga 12 Mei ini.
“Kita masih mencari bukti-bukti baharu dan dalam kes ini, beberapa kenyataan yang dibuat oleh saksi sebelum ini kita sahkan memandangkan pada peringkat awal, terdapat percanggahan maklumat.
“Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan daripada Bahagian Forensik membabitkan bukti-bukti yang ada dan setakat ini ia masih dalam tindakan makmal. Kita jangka kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media.
Media sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit dalam rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai. – MalaysiaGazette