Home Nasional Abang Jho Low kawan baik keluarga Najib – Wan Ahmad

Abang Jho Low kawan baik keluarga Najib – Wan Ahmad

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-16 prosiding penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan nilai RM2.3 bilion hari ini mendedahkan abang kepada Low Taek Jho atau Jho Lo iaitu Low Teik Zhen merupakan kawan baik keluarga Datuk Seri Najib Razak.

Ketika membaca keterangan pada hari pertama, Datuk Wan Ahmad Shibab Ismail Wan Ismail yang merupakan bekas pegawai kepada Najib sejak 2004 sehinggalah 2018 berkata demikian ketika prosiding melibatkan bekas Perdana Menteri itu di sini hari ini.

Katanya, beliau tidak pernah mengenali Jho Low sehinggalah diperkenalkan oleh anak Najib, Nor Ashman Razak ketika satu lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat (AS) sekitar 2007 atau 2008.

“Delegasi kami tinggal di Four Seasons di Washington. Ketika saya dan Ashman turun ke lobi, kami terserempak Jho Low di situ yang sedang duduk di sofa bersama beberapa lagi orang yang saya tidak kenal.

“Setelah melihat Jho Low, Ashman terus menyapanya. Ketika itu, Ashman memberitahu saya bahawa itu adalah Jho Low dan beliau adalah abang kepada kawan baik keluarga Datuk Seri Najib iaitu Teik Zhen.

“Tetapi saya tidak berkomunikasi dengan Jho Low di situ dan hanya melihatnya dari jauh. Itulah kali pertama saya melihatnya juga,” katanya ketika membaca keterangan petang tadi.

Sambung Wan Ahmad, sekitar Ogos 2009 ketika Najib sudah menjadi Perdana Menteri, Jho Low ada menghubunginya dan memperkenalkan dirinya sebelum memaklumkan Najib sekeluarga akan bercuti di Selatan Paris atas jemputan Putera Kuwait dan seorang sahabat bernama Syeikh Hamed di atas kapal mewah.

“Kata Jho Low kepada saya, diri saya telah terpilih oleh Najib sebagai pegawai bertugas bagi percutian tersebut. Saya telah diberikan nombor untuk dihubungi seseorang bernama Sahle.

“Saya kemudian membuat pengesahan terlebih dahulu dengan Najib tentang perkara tersebut sebelum meminta saya persediaan bagi percutian atas kapal itu. Percutian ini juga telah disertai oleh isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya, Ashman, Nooryana Najwa dan Riza Aziz.

“Sekurang-kurangnya 20 orang termasuklah pegawai pengiring, maid dan household staff pada percutian itu,” katanya.

Wan Ahmad juga mendedahkan, selain percutian itu ada juga beberapa percutian lain di atas kapal mewah bernama Topaz di selatan Perancis yang dimiliki Putera Abu Dhabi, Sheikh Mansour sekitar 2013.

Jelasnya, dalam kapal itu, beliau ternampak seorang pelakon Hollywood dan keluarganya tetapi mereka berada di bahagian berasingan dan dimaklumkan pelakon itu adalah tetamu Sheikh Mansour dan merasakan kehadiran mereka hanya kebetulan bersama rombongan Najib.

Selain itu, Wan Ahmad juga mendakwa melihat salah seorang pengarah Aabar (Aabar Investments PJS Ltd), Mohamed Badawy Al-Husseiny turut berada di atas kapal bersama Robert Baker yang juga seorang jurulatih golf profesional.

Wan Ahmad mendedahkan Mohamed Badawy sentiasa bersama Najib dan kenalan bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Bustari Yusuf di atas kapal berkenaan.

“Saya juga dimaklumkan oleh pengurus kapal, Robert Shepherd pihaknya sedang bersiap menyambut Riza Aziz dan beliau tiba bersama Jho Low dan Joey McFarland (penerbit filem Wolf Of Wall Street).

“Saya tidak tahu apa tujuan Jho Low dan Joey McFarland hadir bersama tetapi saya menganggap mereka hadir untuk bersama-sama menikmati percutian itu. Sepanjang berada di atas kapal, saya nampak hampir setiap masa mereka bersama dan kedengaran perbualan mereka banyak tertumpu berkaitan pembikinan filem untuk Hollywood,” katanya.

Untuk makluman, pada 2019 ,Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Mohamed Badawy adalah salah seorang eksekutif yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB dan disabitkan dengan jenayah kewangan serta dijatuhi hukuman penjara di Abu Dhabi.

Prosiding akan bersambung esok pukul 9.30 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -MalaysiaGazette