Home Nasional Keluarga leka beraya, kanak-kanak 3 tahun nyaris dirempuh kereta

Keluarga leka beraya, kanak-kanak 3 tahun nyaris dirempuh kereta

Tangkap layar dari video yang tular kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun (bulatan kecil) yang nyaris dirempuh sebuah kereta apabila tiba-tiba berlari ke arah jalan raya di Kampung Permai, Machap Umboo, Alor Gajah, 3 Mei lalu.

ALOR GAJAH – Kelekaan sebuah keluarga melayan tetamu beraya sehingga lupa menutup pintu rumah hampir meragut nyawa anak sendiri yang nyaris dirempuh sebuah kereta di Kampung Permai, Machap Umboo, di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang 3 Mei lalu apabila kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu tiba-tiba meluru ke arah jalan raya.

Arshad Abu

Kanak-kanak berkenaan bagaimanapun bernasib baik apabila sebuah kereta jenis Kia Forte sempat berhenti sebelum penumpangnya keluar menyelamatkannya yang ketika itu sudah berada di tengah jalan raya.

“Berdasarkan maklumat diterima, ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang pulang ke kampung dipercayai sibuk beraya sehingga terlupa tutup pintu rumah yang terletak di tepi jalan raya.

“Keadaan itu menyebabkan anak perempuannya berusia tiga tahun berlari keluar melintas jalan sebelum pemandu sebuah kereta sempat menekan brek dan penumpangnya keluar menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, kejadian berkenaan turut tular di media sosial namun pihak polis tidak menerima sebarang laporan dan tidak membuka kertas siasatan mengenai kejadian.

“Nasihat saya kepada ibu bapa, mereka perlu lebih peka mengawal anak terutamanya pada usia kanak-kanak yang aktif dan sukar diramal pergerakan mereka.

“Keseronokan meraikan Aidilfitri tidak seharusnya bertukar tragedi yang boleh dielakkan jika kita lebih berhati-hati,” katanya. – MalaysiaGazette