KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan rakaman percakapan 18 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan rasuah dana Yayasan Akalbudi miliknya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan keputusannya berkata, dirinya juga terikat memandangkan keputusan itu sudah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
“Kepentingan awam adalah menjadi pertimbangan utama dalam menentukan permohonan kes ini. Akan wujud halangan dalam pentadbiran kehakiman apabila bakal saksi terasa berat untuk tampil memberi keterangan kerana kerahsiaan itu tidak terjamin.
“Sebelum ini pegawai penyiasat SPRM iaitu Khairudin Kilau telah menyatakan kebimbangannya mengapa kenyataan daripada 18 saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan tidak wajar diberikan. Ini kerana maklumat didedahkan oleh saksi adalah keistimewaan semasa komunikasi rasmi dan rahsia dengan SPRM,” katanya hari ini.
Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut hadir ketika keputusan permohonan itu dibacakan oleh Collin.
Sambung Collin, pegawai penyiasat juga berpandangan sebarang pendedahan itu adalah untuk kepentingan awam dan pada pandangan mereka kenyataan itu dibuat atas dasar kepercayaan serta kekal sulit.
“Khairuddin berkata, ini akan membuatkan saksi keberatan dan teragak-agak untuk membuat memberi keterangan sekaligus sebarang siasatan akan menjadi sukar pada masa hadapan.
“Mengambil kira semua ini, saya mengambil keputusan untuk menolak permohonan ini,” ujarnya.
Ahmad Zahid ketika ini sedang berdepan dengan 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.
Dua belas daripada pertuduhan adalah bagi CBT, lapan untuk rasuah dan baki 27 adalah pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette