KUALA LUMPUR – Kelewatan penerbangan yang melibatkan syarikat tambang murah AirAsia dikesan berlaku sejak hujung bulan lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mendapati isu tersebut seolah-olah tidak dapat diselesaikan oleh syarikat berkenaan sehingga ia berlanjutan sehingga kini.
Untuk itu, tegasnya, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Pengakutan bagi memastikan isu itu diatasi segera.
“Sebagai menteri yang ditugaskan menjaga pengguna, saya mengambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan AirAsia membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.
“Kelewatan ini dikesan sudah berlaku sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan.
“@kpdnhep akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan Kementerian Pengakutan bagi merungkai permasalahan ini, demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang,” katanya dalam satu ciapan dalam bebenang di Twitter.
Beliau memberikan reaksi terhadap keluhan pengguna di media sosial berhubung tindakan AirAsia yang mengubah jadual penerbangan sehingga menyusahkan mereka.
Menurut pengguna, AirAsia menggunakan perkataan ‘penjadualan semua’ berbanding perkataan ‘lewat’ dan ‘tunda’ kerana mahu mengelak daripada melunaskan tuntutan pampasan daripada pengguna.
Sementara itu Alexander berkata, pengguna berhak untuk mengemukakan tuntutan pampasan terhadap kelewatan yang dialami.
Mereka digalakkan untuk membuat aduan jika tuntutan tidak dilayan oleh syarikat penerbangan terbabit.
“Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM),” tegasnya.
Tuntutan yang dikemukakan tertakluk kepada beberapa faktor iaitu pampasan makanan, panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama dua jam atau lebih.
Penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama lima jam atau lebih.
Pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif jika penerbangan dibatalkan.
Satu-satunya pengecualian bagi mendapatkan pampasan adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.
Dalam bebenang yang sama, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau turut menjadi mangsa kelewatan penangguhan penerbangan AirAsia.- MalaysiaGazette