PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bagi prosiding rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kes penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.
Sebelum ini, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes tersebut pada 28 Julai 2020.
Hari ini dimaklumkan melalui notis bahawa prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan itu akan bermula dari 15 hingga 26 Ogos kelak.
Mahkamah juga telah mengarahkan kedua-dua, pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya pada 31 Julai ini.
Akhir tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Sehari sebelum itu juga, ketiga-tiga panel hakim itu sebulat suara menolak permohonan Najib untuk memasukkan beberapa bukti baharu dalam kes tersebut.
Antaranya membabitkan pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang didakwa bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International. -MalaysiaGazette