PETALING JAYA – Para peminat bola sepak serta penyokong setia Harimau Malaya berpeluang untuk mendapatkan tiket kombo berharga RM100 bagi menyaksikan kesemua enam perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E, di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan berlangsung Jun ini.
Naib Presiden FAM, Datuk Posa Majais berkata, tiket tersebut akan mula dijula pada 16 hingga 29 Mei ini secara online di www.tickethotline.com.my.
Katanya, penyokong akan dapat menyaksikan perlawanan antara Bahrain menentang Bangladesh dan Turkemenistan menentang Malaysia.
“FAM berprihatin terhadap oenyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga hari perlawanan bagi saingan kelayakan Kumpulan E ini dan sebagai tanda penghargaan daripada FAM kita memperkenalkan tiket kombo RM100 ini supaya ia dapat memudahkan penyokong selain memberi sedikit penjimatan dari segi harga.
“Bagaimanapun, tawaran tiket kombo ini hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Posa berkata, selepas berakhir tempoh tersebut, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap hari perlawanan.
“Jadi, kepada penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga hari perlawanan, mereka tidak perlu membeli tiket RM40 secara berasingan sebanyak tiga kali yang harganya akan menjadi RM120.
“Sebaliknya ia lebih mudah dan jimat jika membelinya secara kombo sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu Posa memaklumkan, kesemua tiket bagi perlawana Pusingan Akhir Kelayakan Piala asia 2023 bagi Kumpulan E serta dua perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Myanmar dan Hong Kong hanya akan dijual secara dalam talian dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium. – MalaysiaGazette