Home Dunia Bekas rumah PM Sri Lanka dibakar perusuh

Bekas rumah PM Sri Lanka dibakar perusuh

Kereta dibakar di luar kediaman Mahinda Rajapaksa. foto Reuters

COLOMBO – Kumpulan perusuh yang marah dengan kerajaan bertindak membakar rumah milik keluarga Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa dan ahli Parlimen.

Kejadian itu berlaku selepas kumpulan tersebut bertembung dengan penyokong kerajaan.

Keganasan itu mendorong Mahinda meletak jawatan di tengah-tengah bantahan besar-besaran terhadap kerajaannya yang didakwa gagal mengendalikan krisis ekonomi.

Walaupun Mahinda telah melepaskan jawatan namun keputusannya gagal menenangkan penunjuk perasaan, yang cuba menyerbu kediaman rasminya semasa dia berada di dalam.

Lima orang maut dan lebih 190 lagi cedera sejak Isnin.

Perintah berkurung di seluruh pulau telah dilanjutkan hingga pagi Rabu ketika pihak berkuasa berusaha untuk menangani keganasan.

Kumpulan anti-kerajaan turut mendesak Presiden Gotabaya Rajapaksa, adik kepada Mahinda untuk melepaskan jawatan berikutan demonstrasi yang semakin meningkat selama berminggu-minggu ekoran kenaikan harga dan pemotongan bekalan elektrik sejak sebulan lalu.

Pada hari Isnin, penyokong kerajaan bertempur dengan penunjuk perasaan di ibu negara Colombo di luar kediaman Mahinda dan kemudian di tapak protes utama di Galle Face Green.

Polis dan skuad rusuhan dikerahkan dan gas pemedih mata dan meriam air dilepaskan ke arah penyokong kerajaan selepas mereka melanggar garisan polis dan memukul penunjuk perasaan menggunakan kayu dan tiang.

Penunjuk perasaan yang marah bertindak balas, menyerang penyokong kerajaan dan mensasarkan ahli parlimen parti pemerintah, termasuk seorang individu yang menembak dua orang selepas kumpulan perusuh mengerumuni keretanya dan kemudian membunuh diri, menurut polis Sri Lanka. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-asia-61389189)