Home Nasional Iring orang awam: Jangan hanya hukum anggota polis trafik

Iring orang awam: Jangan hanya hukum anggota polis trafik

The Member of Parliament of Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 02 AUGUST 2018. free computer free laptop free tablet luxury cars Vellfire Mercedes
Steven Sim Chee Keong PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 02 AUGUST 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan tidak seharusnya hanya dikenakan ke atas anggota polis trafik yang mengiringi kenderaan orang awam di atas jalan raya.

Sebaliknya hukuman perlu juga dikenakan ke atas orang awam terbabit yang menyalahgunakan perkhidmatan tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, terdapat unsur salah guna kuasa dalam kes yang melibatkan seorang anak pemimpin politik baru-baru ini.

“Syabas PDRM ambil tindakan tegas. Tapi soalan saya, bagaimana pula dengan anak ahli Parlimen (MP) yang ternyata telah salah guna kuasa?

“Kalau ikut jawapan Parlimen kepada saya pada Mac 2022 anak MP tidak termasuk dalam senarai yang layak dapat perkhidmatan outrider polis.

“Jangan hanya hukum anggota polis, ini kena hukum sekali geng VVIP dan anak pinak sanak saudara mereka yang buat semacam mereka ni raja!” kata beliau.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, ahli politik sepatutnya tak perlu menggunakan perkhidmatan anggota pengiring polis.

Media sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis susulan video anggota polis trafik mengiringi orang awam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan.

Satu rakaman video tular berdurasi 20 saat telah dimuat naik oleh pemilik akaun ‘anwarazeez’ memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh anggota trafik menggunakan motosikal milik PDRM di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.

Pihak PDRM Pulau Pinang mengesahkan kejadian tersebut berlaku.

Dalam jawapan secara bertulis kepada Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan terdapat undang-undang yang membenarkan orang kenamaan tertentu mendapat manfaat anggota pengiring.

Ini termasuk Yang Di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan dan isteri, Tuan Yang Terutama dan isteri, Tengku Mahkota, Raja Muda serta Perdana Menteri dan isteri.

Turut diberikan kemudahan itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan isteri, menteri serta bekas Perdana Menteri.

Timbalan menteri yang mewakili Perdana Menteri dalam mana-mana acara rasmi kerajaan juga dibenarkan menggunakan kemudahan itu.

Penyediaan pasukan tersebut demi memastikan keselamatan orang kenamaan berkenaan semasa dalam perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi.

Ia juga bagi mengelakkan sebarang ancaman terhadap orang kenamaan yang diiringi.-MalaysiaGazette