KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-14 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan penyewelengan dana RM2.3 bilion mendedahkan bagaimana dirinya diugut untuk menandatangani laporan audit penyata kewangan syarikat pelaburan strategik itu bagi tahun 2013.
Menurut Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris, tekanan dalam bentuk ugutan itu sekitar 15 Disember 2013 dilakukan Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu adalah Perdana Menteri.
Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram bertanya jika saksi itu menerima sebarang tekanan untuk menandatangani laporan audit itu, Johan mendakwa tekanan itu memang bentuk ugutan.
Bagaimanapun peguambela, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib bangun membantah memandangkan selama ini tidak ada sebarang dakwaan ugutan dibangkitkan oleh Johan di mana-mana ketika sesi soal balas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian memerintahkan pembelaan untuk mengemukakan perkara itu dalam hujahannya.
Sebelum itu, ketika soal balas, Johan juga mendakwa KPMG juga tidak menerima satu sen pun daripada wang yang diseleweng 1MDB.
Dakwa Johan, pihaknya sentiasa menjalankan audit dengan betul walaupun disoal Wan Aizuddin adakah KPMG telah melakukan audit dengan betul sepanjang tiga tahun kewangan antara 2010, 2011 dan 2012.
Saksi itu juga tidak bersetuju apabila dicadangkan pembelaan KPMG telah bertindak menutup mata terhadap transaksi mengelirukan sehingga membenarkan wang 1MDB disalahgunakan.
Johan juga pernah mendedahkan dalam satu pertemuan di rumah Najib di Langgak Duta di mana bekas Presiden UMNO pernah meminta KPMG supaya tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan syarikat itu di Brazen Sky Limited kerana ia adalah sulit.
Mahkamah sebelum ini pernah didedahkan oleh saksi terdahulu, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir bahawa bekas rakan kongsi KPMG, Ahmad Nasir Abdul Wahab telah meminta untuk berjumpa dengan Najib sebelum penyata kewangan ditandatangani terutamanya tentang pelaburan 1MDB di luar negara.
Pelaburan yang dimaksudkan itu sebuah syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands, Brazen Sky Limited.
Untuk makluman, Brazen Sky Limited ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi tujuan mendapatkan balik dana pelaburan milik 1MDB yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.
Prosiding bersambung.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette