PETALING JAYA – Kejayaan menewaskan gergasi bola sepak Asia Tenggara iaitu Thailand, 2-1 dianggap permulaan yang baik buat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) untuk melangkah jauh terutamanya menempah slot untuk ke final Sukan SEA 2021.
Perkara itu diakui Pengurus pasukan, Datuk Posa Majais apabila menyatakan penampilan skuad muda negara lebih baik berbanding sebelum ini meskipun berdepan dengan kekangan pemain serta pandemik Covid-19.
“Pasukan kali ini lebih kurang 95 peratus lengkap dengan persediaan dan bersedia berdepan dengan perlawanan seterusnya bertemu Laos. Kemenangan dengan Thailand (2-1) adalah suntikan semangat untuk terus cemerlang.
“Ini juga masa untuk membalas dendam bagi dua kekalahan ketika bertemu pasukan itu sebelum ini. Jelas juga bahawa Laos bukan lagi pasukan belasahan,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Media Pengumuman Penjualan Tiket Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023, semalam.
Pada aksi Ahad lalu, skuad B23 meraih tiga mata selepas menang ke atas Thailand pada aksi Kumpulan B Sukan SEA 2021 yang kini berlangsung di Hanoi, Vietnam.
Posa yang juga Naib Presiden FAM yakin skuad negara akan kekal mempamerkan aksi cemerlang pada saingan kedua kumpulan Rabu ini.
Anak didik Brad Maloney akan berdepan Laos esok, disusuli pertemuan menentang Singapura (14 Mei) sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan B bertemu Kemboja (16 Mei). – MalaysiaGazette