GEORGE TOWN – “Hanya mesej suara (voice note) yang dihantar menerusi aplikasi WeChat setiap hari tanda anak saya masih hidup.”
Itu kata ibu kepada seorang lelaki yang kini terkandas di Thailand selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja.
Por Sai Yeon, 49, berkata, anaknya, Lim Zi Xin serta rakannya Teoh Chi Peng yang masing-masing berusia 20 tahun itu kini perlu membayar RM50,000 hingga RM70,000 setiap seorang untuk pulang semula ke tanah air.
Jelasnya, mereka sekeluarga buntu sebaik diberitahu anak kedua daripada lima beradik itu bahawa dia dan rakannya terperangkap dengan sindiket penipuan tawaran kerja di daerah Chiang Saen, Thailand sejak Julai lalu.
“Dia (anak) memaklumkan kehidupan mereka tidak seperti dijanjikan malah mereka dikerah kerja lebih 12 jam setiap hari iaitu bermula pukul 10 malam hingga 2 petang keesokan hari.
“Dia mendakwa mereka dikerah melakukan kerja penipuan serta perjudian atas talian namun tidak boleh mendedahkan lanjut kerana setiap gerak geri mereka di tempat kerja hingga ke kediaman diperhatikan menerusi kamera kitar tertutup (CCTV).
“Setiap kali dia menghubungi kami (dia dan suami) dia merayu untuk membayar 70,000 yuan kepada majikannya agar dia dapat pulang semula tetapi kami tidak mampu memandangkan keluarga bergantung penuh pada pendapatan suami sebagai tukang cat sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma MCA Pulau Pinang hari ini
Tambah Sai Yeon, anaknya turut dipaksa mengiklankan tawaran kerja untuk menarik golongan muda di negara ini supaya terpedaya dengan sindiket sama.
“Kira-kira 300 individu bekerja di sana dan 70 peratus merupakan orang Malaysia dakwa anak saya.
“Kehidupan kami sekeluarga berubah kini memikirkan nasib dia (anak) sehingga adakalanya saya terpaksa mengambil ubat susulan kerana sukar tidur malam.
“Susulan itu, saya dan suami nekad minta bantuan pihak MCA untuk membantu membawa pulang anak kami serta mendedahkan kegiatan sindiket kepada umum agar anak muda lain tidak terpedaya,” katanya yang menetap di Sungai Bakap, Jawi.
Sementara itu, ibu kepada Chi Peng, T. Ranggama, 62, pula berkata, kali terakhir anaknya menghubunginya pada Ahad lalu dan sehingga kini tiada sebarang maklumat mengenainya.
“Saya larang dia ke sana dulu tetapi dia degil dan kata hanya akan bekerja di sana setahun sahaja. Saya kini bimbang akan keselamatan anak tunggal saya itu dan harap pihak kerajaan bantu bawanya pulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang berkata, pihaknya sedang berusaha membantu kedua-dua keluarga berkenaan dengan berhubung dengan pihak polis dan polis antarabangsa (Interpol).
“Kita juga dapati sindiket penipuan tawaran pekerjaan itu masih aktif menyiarkan iklan mencari pekerja melalui laman Facebook.
“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan di luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette