Home Utama Ibu kesal dua kali anak tirinya jadi mangsa buli sekolah

Ibu kesal dua kali anak tirinya jadi mangsa buli sekolah

Kesan tapak kasut pada baju mangsa yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di daerah Timur Laut.

GEORGE TOWN – “Semalam anak mengadu sakit di bahagian dada akibat ditumbuk rakan sekelas dan hari ini kami dikejutkan dengan kesan tapak kasut di belakang bajunya.”

Demikian luahan Zaiton Othman, 56, ibu tiri kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh yang didakwa mangsa buli di sebuah sekolah di daerah Timur Laut.

Menurut Zaiton, sudah dua kali anak tirinya itu menjadi mangsa buli sejak sesi persekolahan bermula pada Mac lalu.

“Kali pertama dia (mangsa) ditendang di bahagian perut dan dada pada Mac lalu oleh murid di sekolah berkenaan dan kami menghubungi guru kelasnya bagi memaklumkan kejadian.

“Tiada maklum balas daripada guru berkenaan sehingga kejadian sama berlaku lagi semalam.

“Kemuncak kejadian itu berlaku hari ini apabila suami saya mendapati terdapat kesan tapak kasut pada belakang baju anak saya selepas mengambilnya pulang dari sekolah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Zaiton serta suaminya tampil membuat laporan berhubung kejadian yang menimpa anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Tambah Zaiton, tujuan mereka membuat laporan untuk memastikan guru di sekolah berkenaan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak berlakunya kejadian buli membabitkan murid di sekolah tersebut.

“Kita bukan mahu menghukum sesiapa tetapi biarlah tindakan wajar diambil kepada murid berkenaan atau sekurang-kurangnya dimaklum kepada waris murid yang terbabit.

“Saya bimbang jika perkara ini berterusan, ia akan mengganggu emosi serta pembelajaran anak saya,” katanya. – MalaysiaGazette