Home Nasional Lebih baik MMA diam jika tak tahu realiti isu buli doktor pelatih...

Lebih baik MMA diam jika tak tahu realiti isu buli doktor pelatih – Ramasamy

religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy membidas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung insiden buli doktor pelatih di negara ini.

Pemimpin DAP itu melahirkan rasa terkejut dengan sikap sambil lewa Presiden MMA, Dr Koh Khar Chai yang menganggap insiden buli doktor pelatih sehingga mati itu sebagai isu terpencil.

“Dalam erti kata lain, nampaknya dia (Khar Chai)  bersetuju dengan fenomena buli tetapi berpendapat bahawa ianya kes buli doktor pelatih yang tidak begitu serius.

“Beliau bersetuju bahawa terdapat beberapa jenis perlakuan kasar terhadap doktor pelatih yang tidak dapat dielakkan kerana tekanan yang dihadapi oleh doktor kanan dalam proses rawatan.

“Gejala buli tidak berlaku di hospital kecil tetapi hanya di hospital kerajaan besar yang mempunyai kehadiran pesakit yang ramai setiap hari.

“Ia mengejutkan dan di luar kepercayaan saya apabila saya mendapat tahu tentang respons sebegini di mana MMA kelihatan tidak perasaan terhadap tahap dan intensiti buli sehingga boleh mendorong kes bunuh diri doktor pelatih baru-baru ini di hospital Pulau Pinang,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Sambung Ramasamy, dua tahun lepas, seorang lagi doktor yang bertugas di hospital Pulau Pinang bertindak membunuh diri kerana isu yang sama.

“Ia bukan jumlah kes bunuh diri tetapi pengakuan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena di hospital kerajaan.

“Baru-baru ini, liputan media telah menggambarkan tanpa keraguan bahawa buli terhadap doktor pelatih oleh doktor kanan, pihak berkuasa hospital dan juga jururawat kanan telah mencapai titik krisis dalam profesion perubatan.

“Tetapi bagi MMA ini hanya sedikit kes serius berdasarkan pendekatan statistik untuk mengurangkan tahap buli di hospital kerajaan, hospital yang merawati segmen masyarakat miskin yang banyak.

“Presiden MMA terlepas cakap bahawa ia bukan manifestasi fenomena itu dari segi beberapa kes tetapi amalan sistematik buli dan penghinaan terhadap doktor pelatih muda selama ini.

“Tetapi bukankah tumpuan tidak seharusnya tertumpu kepada beberapa kes tetapi sama ada kerajaan boleh membenarkan buli berlaku atau tidak walau apa pun justifikasinya,” katanya.

Beliau juga tidak faham mengapa MMA perlu meremehkan insiden buli serius yang membawa kepada kes bunuh diri sebagai satu penyimpangan daripada norma.

Dalam pada itu, Ramasamy berpandangan MMA tidak mempunyai pengetahuan tentang realiti di hospital kerajaan atau hanya mahu memuaskan pihak tertentu dengan memperkenalkan isu yang sama.

“Adakah MMA hanya mahu memuaskan kerajaan yang berkuasa dengan memperkecilkan fenomena buli dengan memberi penjelasan berdasarkan statistik karut.

“Jika MMA tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan untuk membetulkan keadaan di hospital kerajaan, ia harus berdiam diri atau tidak peduli dengan perkara itu. Tidak sepatutnya Presiden MMA buka mulut untuk dedahkan sikap mereka yang tidak peduli ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Norlela serah nama lima doktor pembuli kepada KKM