KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) perlu diadakan segera berbanding pemilihan parti, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, ini kerana populariti pembangkang semakin merudum dan semakin hari semakin lemah.
“Ini masanya yang tepat untuk kita (UMNO) bangkit semula tatkala musuh kita semakin lemah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Wacana Aspirasi UMNO yang bertajuk “Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran” di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Bersandarkan kepada gesaan itu, Mohamad berkata, sebaliknya pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang diadakan ketika ini akan memecahbelahkan parti berikutan perebutan kuasa sesama sendiri dalam parti.
“Kita tidak mahu parti berpecah-pecah. Perebutan kuasa kalau diadakan pemilihan sebelum PRU umum.
“Bayangkan selepas buat pemilihan, ramai pemuda cukup umur kalah di peringkat cawangan Jentera kita akan kelam kabut dan tidak ada masa siapkan jentera. Ini satu keadaan membunuh diri,” katanya.
Kata Mohamad bagaimanapun UMNO tidak boleh dilihat terlalu memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.
Malah Mohamad percaya Ismail Sabri mempunyai pertimbangannya untuk menentukan tarikh paling sesuai untuk mengadakan PRU15.
“Dia (Ismail) ada pertimbangan dia. Atau mungkin tunggu sehingga MoU (memorandum persefahaman antara kerajaan) dengan pembangkang habis pada 31 Julai ini.
“Kita akan tunggu sehingga 31 Julai. Lepas itu baru bincang,” katanya lagi.
Ketika berucap merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) pada Mac lalu, Mohammad berkata, tiada alasan untuk melengahkan PRU15 ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali diyakini rakyat.
Menurut beliau, melengahkan PRU15 akan membuka kesempatan kepada kebangkitan pembangkang untuk berdepan UMNO dan BN. – MalaysiaGazette