Home Politik Saya tak sabar nak tengok debat Najib-Anwar – Mohamad Hasan

Saya tak sabar nak tengok debat Najib-Anwar – Mohamad Hasan

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Pelancaran Wacana Aspirasi UMNO (WAU) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan teruja untuk menyaksikan debat terbuka antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Katanya beliau tidak sabar untuk menyaksikan satu acara yang julung kali diadakan di antara pemimpin politik di negara ini.

“Saya pun nak dengar (debat antara Najib dan Anwar),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Wacana Aspirasi UMNO yang bertajuk “Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran” di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Debat terbuka antara Najib dan Anwar akan diadakan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) jam 9 malam esok.

Debat perdana itu akan disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran TV dan media sosial.

Ditanya apa nasihat beliau terhadap keduanya, Mohamad berkata, terpulang kepada kedua-dua mereka untuk bercakap apa dalam debat berkenaan.

“Saya tak boleh nak nasihat mereka, lantak dia orang la. Dia nak cakap, biarlah dia cakap. Masing-masing ada idea. Ada point, saya nak nasihat Datuk Seri Najib, Datuk Seri Anwar dan saya siapa?, jawab Mohamad.

Sebelum ini, kedua-dua pemimpin itu saling mencabar antara satu sama lain untuk merungkai isu Sapura Energy Berhad (SEB) yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Najib merupakan individu terawal yang mencadangkan kerajaan supaya menyelamatkan SEB yang berhadapan dengan krisis kewangan teruk. – MalaysiaGazette