KUALA LUMPUR – Tindakan keluar masuk parti merupakan perkara biasa yang telah berlaku sejak dahulu lagi, kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau memberitahu, tindakan keluar parti pernah dilakukan oleh bekas perdana menteri pertama, Allahyarham Tengku Abdul Rahman Putra -Al-Haj yang merupakan pemimpin UMNO.
Katanya, bukan setakat itu, malah ramai dalam kalangan pemimpin parti itu turut melakukan perkara sama termasuk bekas Presiden dan juga bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Yang pentingnya bila ada sesuatu yang harus kita lakukan, kita mesti lakukan dengan terbaik dengan niat yang baik supaya tak timbul di masa hadapan bahawa sesorang itu melakukan atas kehendak dia sendiri atau untuk kepentingan maslahah yang lebih besar, itu yang penting pada saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad yang meminta pemimpin UMNO bersikap terbuka untuk menerima kembali mereka yang meninggalkan parti itu sebelum ini.
Md Alwi dipetik sebagai berkata, mereka yang meninggalkan parti itu suatu ketika dahulu mempunyai alasan dan sebab tersendiri.
Katanya, UMNO tidak boleh berdendam terhadap mereka yang pernah keluar parti, sebaliknya perlu bersikap terbuka dan memaafkan kekhilafan individu tersebut.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, baginya apa sahaja yang berlaku dalam tiga tahun lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 merupakan sesuatu yang telahpun terjadi.
Ujarnya, ada berlaku dengan perancangan, ada yang berlaku kerana perkara-perkara yang mempunyai strategi tertentu dan semuanya adalah untuk kepentingan rakyat.
“Jadi, sebab itu saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh membabitkan sesiapa sahaja.
“Yang penting kerajaan ini adalah kerajaan yang stabil dan dapat memastikan apa sahaja agenda kerajaan itu dapat kita lakukan dengan terbaik supaya rakyat tidak gelisah hidup dalam kepimpina yang terumbang ambing…itu yang sepatutnya kita berikan keutamaan,” katanya.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut merupakan antara enam Ahli Parlimen UMNO yang mengisytiharkan meninggalkan parti pada 14 Disember 2018.
Pemimpin lain yang turut mengikut jejaknya iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. – MalaysiaGazette