MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau sehingga parah kerana berebut kereta ibunya untuk beraya di pagi 1 Syawal, 2 Mei lalu.
Tertuduh Nabil Sarip, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Nariman Badruddin di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abang kandungnya, Muhamad Farok Sarip, 38, menggunakan sebilah pisau pemotong ayam.
Tindakan itu dilakukan tertuduh yang bekerja sebagai pembantu sebuah pusat boling di Taman Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 10 pagi, hari pertama Aidilfitri, 2 Mei lalu.
Difahamkan kejadian berlaku selepas dua beradik itu berebut giliran menggunakan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik ibu mereka untuk pergi beraya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon tertuduh tidak ditawarkan jaminan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang beralamat sama dengan tertuduh.
Namun katanya, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, ia diberikan pada kadar tinggi dengan syarat tambahan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Amrit Singh merayu jaminan rendah dengan alasan perlu menanggung ibu bapa yang uzur, selain berjanji tidak akan mengganggu mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dilarang menganggu atau berkomunikasi dengan mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan 7 Jun depan.- MalaysiaGazette