AMSTERDAM – Ajax mengesahkan gelaran kedua berturut-turut Eredivisie Belanda selepas membelasah Heerenveen 5-0 di Amsterdam Arena di sini awal pagi tadi.
Ia merupakan kejuaraan ke-36 kelab dan ketiga buat Erik ten Hag yang akan menamatkan tempoh lima tahun bersama kelab itu sebelum berhijrah ke Manchester United.
Ajax mendahului empat mata berbanding pasukan tangga kedua, PSV Eindhoven, yang menewaskan Nijmegen 3-2 dengan berbaki satu perlawanan.
PSV terlepas peluang mengurangkan jurang kepada dua mata hujung minggu lalu apabila melepaskan dua gol lewat ketika seri 2-2 di Feyenoord.
Awal pagi tadi Nicolas Tagliafico dan Steven Berghuis tenang menyempurnakan peluang bagi memberikan Ajax dua gol awal.
Brian Brobbey dan Edson Alvarez menambah derita lawan pada aksi terakhir Ten Hag di laman sendiri. – MalaysiaGazette