Home Politik Anwar sedia jumpa PM untuk buka semula siasatan RCI Forex

Anwar sedia jumpa PM untuk buka semula siasatan RCI Forex

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dirinya tidak ada masalah untuk kerajaan sekarang membuka semula kes Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap isu kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

Ketua Pembangkang itu berharap agar dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggesa agar kerajaan melaksanakan permintaan itu.

“Pendirian saya jelas, kalau esok dapat saya bercakap dengan Perdana Menteri dan Peguam Negara (untuk buka semula kertas siasatan RCI Forex), saya tidak ada masalah,” katanya dalam Debat Perdana dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) malam ini.

Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan Najib mengenai isu siasatan RCI kerugian mata wang pada 1994 yang tidak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu.

Pada Julai 2019 lalu, kerajaan Pakatan Harapan memutuskan bahawa laporan RCI mengenai skandal tukaran mata wang asing pada 1990-an dulu diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Liew Vui Keong menegaskan, penelitian daripada dapatan itu mendapati ada kekurangan keterangan dokumentari bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM31.5 bilion akibat skandal berkenaan.

Jelas Anwar lagi, beliau tidak mahu kertas siasatan itu melindungi mana-mana ahli politik dan bertindak menutup kes berkenaan.

Katanya lagi, situasi ini nyata merugikan negara dek kerana isu-isu penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.

“Apa yang halang Peguam Negara sekrang untuk buka semula kes yang dianggap pendakwaan terpilih, saya tak mahu ada alasan bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang (Ismail Sabri) adakan mesyuarat Kabinet arahkan siasatan semula.

“Ambil cara yang profesional supaya negara ini diyakini kembali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette