Home Ekonomi Awang Adek lepas jawatan pengarah PRG

Awang Adek lepas jawatan pengarah PRG

Lua Choon Hann (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Awang Adek Hussin.

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif PRG Holdings Berhad (PRG), Datuk Dr Awang Adek Hussin akan melepaskan jawatananya daripada ahli lembaga pengarah mulai 30 Mei ini susulan pelantikannya sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, PRG berkata, Awang Adek akan menerajui SC mulai 1 Jun ini.

“Justeru, beliau telah memutuskan untuk meletakkan jawatan di PRG,” kata Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann

Pada 28 April lalu, SC telah mengumumkan peletakan jawatan Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Eksekutif SC, yang berkuat kuasa pada 31 Mei 2022.

Disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, PRG ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan pembangunan hartanah, pembinaan, pembuatan dan pertanian.

Segmen pembuatannya, Furniweb Holdings Limited disenaraikan di papan GEM Bursa Saham Hong Kong. – MalaysiaGazette