Home Nasional HFMD: Melaka rekod 977 kes , meningkat 928%

HFMD: Melaka rekod 977 kes , meningkat 928%

Dr Rusdi Abd Rahman.

MELAKA – Melaka mencatatkan 977 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) daripada 13 kluster membabitkan tadika, taska, pusat jagaan dan rumah setakat minggu ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, angka itu meningkat 928 peratus berbanding tempoh sama setakat Minggu Epid Ke 18 (ME18) tahun lalu yang hanya mencatatkan 95 kes.

Menurutnya, 13 kluster dilaporkan melibatkan lima di tadika, taska (4) serta dua kes masing-masing di pusat jagaan dan rumah persendirian.

“Susulan itu, kita telah mengarahkan 11 buah premis iaitu tadika, taska dan pusat jagaan melibatkan tujuh premis di daerah Jasin, Melaka Tengah (tiga) dan sebuah premis di daerah Alor Gajah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) sentiasa memantau perkembangan kes itu termasuk mengadakan beberapa sesi ‘town hall’ bersama pengusaha tadika dan taska.

“Sesi sama juga dilakukan melibatkan pemilik pasar raya bagi membendung kes HFMD di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, walaupun situasi HFMD di Melaka masih terkawal, ibu bapa perlu berwaspada termasuk peka terhadap tanda-tanda penyakit itu pada anak-anak.

“Jika ada anak-anak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti, ibu bapa dinasihatkan tidak menghantar anak-anak ke sekolah atau tadika, sebaliknya segera ke klinik untuk rawatan lanjut,” katanya.