Home Dunia Identiti penumpang mendarat pesawat masih misteri

Identiti penumpang mendarat pesawat masih misteri

Rakaman pertemuan antara penumpang yang menerbangkan pesawat dengan Morgan.

FLORIDA – Seorang penumpang misteri yang mendaratkan sebuah pesawat secara solo selepas juruterbang pengsan masih gagal dikenal pasti.

Suara lelaki yang masih gagal dikesan identitinya itu telah membuat pengumuman dalam rakaman pesawat  memaklumkan kepada menara kawalan bahawa dia tidak mempunyai idea bagaimana mahu menghentikan kapal terbang.

Pengawal trafik udara kemudian memberi panduan kepada ‘juruterbang baharu’ bagaimana mahu mendarat di Lapangan Terbang Palm Beach pada kejadian petang Selasa lalu.

Kedua-duanya kemudian bertemu sebaik sahaja pesawat mendarat tetapi tidak berkenalan antara satu sama lain.

“Saya menghadapi situasi yang serius di sini. Juruterbang tidak sedar. Dia pengsan,” lelaki itu kedengaran berkata melalui rakaman dari ketinggian 9,000 kaki (2,750 meter) di udara.

Ketika ditanya kedudukannya, dia menjawab: “Saya tidak tahu”.

Namun lelaki itu hanya menjawab  dia boleh melihat pantai Florida di hadapannya.

“Kekalkan paras sayap dan cuba ikut pantai, sama ada ke utara atau selatan. Kami cuba mencari kamu,” kata pengawal trafik udara kepada lelaki itu.

Lelaki itu kemudian berkata: “Saya tidak dapat menghidupkan skrin navigasi. Ia mempunyai semua maklumat mengenainya. Kamu ada apa-apa idea tentang itu?.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menghentikan kapal terbang itu. Saya tidak tahu bagaimana untuk melakukan apa-apa”.

Robert Morgan, seorang pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach, sedang berehat apabila rakan sekerjanya datang untuk memberitahunya tentang situasi itu.

Sebagai seorang pengajar penerbangan dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam kawalan trafik udara, Morgan tidak pernah menerbangkan model pesawat satu enjin Cessna 208 – tetapi dia dapat menggunakan peta kokpit pesawat untuk memberi arahan untuk penerbangan itu.

“Saya tahu pesawat itu terbang seperti pesawat lain. Saya hanya tahu saya perlu memastikan dia tenang, menunjukkannya ke landasan dan memberitahunya cara mengurangkan kuasa supaya dia boleh turun ke darat,” kata Morgan kepada WPBF-TV.

Dalam rakaman itu, Morgan kedengaran mengajar lelaki itu untuk “menolak ke hadapan pada kawalan dan turun pada kadar yang sangat perlahan” semasa dia menghampir untuk mendarat.

“Sebelum saya menyedarinya, dia berkata, ‘Saya berada di lapangan. Bagaimanakah cara saya mematikan pesawat ini,” Morgan mengimbau semula kejadian itu.

Wartawan WPBF berkata, lelaki dan Morgan kemudian bertemu di landasan, mereka berpelukan dan mengambil gambar.

Tetapi dalam keterujaannya, Morgan bertanya nama lelaki itu, katanya. – BBC) (https://www.bbc.com/news/world-us-canada-61416384