Home Utama Kes buli: Doktor pakar antara lima doktor dalam senarai – Khairy

Kes buli: Doktor pakar antara lima doktor dalam senarai – Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada media selepas Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di Hotel Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 12 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  telah menerima nama lima doktor yang didakwa sebagai ‘pembuli’ di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, doktor pakar antara nama yang diserahkan.

Bagaimanapun beliau berkata, lima doktor berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kes seorang doktor pelatih HPP yang maut akibat terjatuh dari sebuah apartment di Jalan Datuk Keramat baru-baru ini.

Setakat ini, katanya, tiada tindakan penggantungan atau pertukaran serta-merta dibuat ke atas kelima-lima doktor terbabit.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukarkan mereka yang kononnya dituduh membuli.

“Ketika ini kita lihat aduan yang dibuat dulu. Bukan senang hendak menukar doktor pakar.

“Buat masa sekarang, semua petugas bertugas seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin yang telah menghantar nama lima doktor yang didakwa sebagai ‘pembuli’ di HPP kepada Khairy untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Khairy mengakui KKM ketika ini menerima banyak aduan dan tuduhan nama-nama doktor dan pakar kononnya membuli doktor junior.

Untuk melakukan keadilan kepada semua pihak, ia mesti melakukan proses siasatan yang telus yang akan dikemukakan kepadanya.

Dan, ia adalah proses dalaman yang biasa dijalankan oleh KKM.

“Selain daripada itu seperti saya umumkan satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan dan mereka akan melihat kepada aduan tersebut.

“Namun saya tidak mempengerusikan pasukan khas itu dan makluman lanjut akan diumumkan esok,” katanya.

Mengulas tempoh siasatan, Khairy menambah, aduan yang dibuat itu akan mengambil masa mungkin beberapa minggu kerana melibatkan tuduhan berat dan juga budaya kerja tidak profesional.

“Ia melibatkan proses temubual yang ambil sedikit masa,” katanya.

Siasatan ini tercetus selepas seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, di sini pada 17 Mei lalu.

Susulan kes berkenaan, pasukan petugas bebas ditubuhkan KKM bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih itu.

Pasukan bertindak tersebut juga berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku. – MalaysiaGazette