MELAKA – “Nasib baik ada orang sempat menarik keluar pemandu lelaki terbabit dari keretanya yang sedang terbakar, kalau tidak tentu keadaan bertambah buruk,”.
Itu diceritakan Abdul Razak Ali, 37, saksi kemalangan menyebabkan seorang lelaki berusia 48 tahun nyaris rentung apabila kereta jenis Chevrolet dipandunya dipercayai terbabas sebelum terbakar di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, pagi tadi.
Menurutnya, ketika kejadian sekitar jam 8.30 pagi, dia dan rakannya sedang sarapan di kedai makan berhampiran jalan utama kawasan perindustrian berkenaan.
“Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi kuat sebelum terpandang kereta berkenaan melanggar pembahagi jalan menyebabkannya berpusing beberapa kali.
“Kereta Chevrolet itu kemudian menghentam sebuah kereta lain yang diletakkan di bahu jalan sebelum terbakar dari bahagian bawah enjin,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dia yang tergamam kemudian melihat beberapa orang awam berlari menyelamatkan pemandu yang dilihat cedera di bahagian pinggang.
“Pada masa sama, salah seorang mereka yang mungkin pekerja kedai di situ memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api.
“Melihat ramai yang sudah membantu mangsa, saya pun berlari ke arah jalan untuk mengawal lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini sebelum menghubungi bomba,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Pengawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Ahmad Nyat berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.37 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.
“Tiga anggota bersama sebuah Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu mangsa.
“Sejurus tiba anggota bomba mendapati sebuah kereta terbakar bersama seorang lelaki berusia 48 tahun cedera dan dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal jam 8.48 pagi. – MalaysiaGazette