LONDON – Para penumpang tidak perlu lagi memakai pelitup muka dalam penerbangan dan di lapangan terbang di negara Kesatuan Eropah (EU) mulai Isnin depan.
Langkah itu selaras dengan perubahan dasar Covid-19 pada pengangkutan awam di seluruh Eropah, kata Agensi Keselamatan Penerbangan EU (EASA).
Beberapa syarikat penerbangan Amerika Syarikat juga telah melakukan perkara sama pada April selepas hakim persekutuan membatalkan pemakaian pelitup mula.
Tetapi EASA berkata, peraturan pemakaian pelitup muka “akan terus berbeza mengikut syarikat penerbangan”.
“Mulai minggu depan, topeng muka tidak lagi perlu diwajibkan dalam perjalanan udara dalam semua kes, secara amnya sejajar dengan perubahan keperluan pihak berkuasa negara di seluruh Eropah untuk pengangkutan awam,” kata Pengarah Eksekutif EASA Patrick Ky.
“Adalah satu kelegaan apabila kita boleh mula melonggarkan langkah keselamatan kesihatan,” tambahnya.
Tetapi panduan baharu itu disertakan dengan beberapa nasihat berhati-hati daripada Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).
Pengarah ECDC Andrea Ammon berkata, walaupun pemakaian pelitup mula tidak lagi diwajibkan, para penumpang diingatkan “melakukan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan tangan kerana ia adalah salah satu kaedah terbaik untuk mengurangkan penularan”.
Dalam pada itu, kedua-dua agensi EU berkata, bagia penerbangan yang tiba atau berlepas dari tempat yang masih menguatkuasakan peraturan memakai pelitup muka dalam pengangkutan awam, syarikat penerbangan harus menggalakkan penumpang memakainya.
“Setakat 16 Mei 2022, pengendali pesawat digalakkan mengenakan arahan pemakaian pelitup muka kepada anak-anak kapal semasa komunikasi pra-penerbangan dan semasa penerbangan, walaupun peraturan pemakaiannya tidak diperlukan,” kata ECDC. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-europe-61413015)