KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membentangkan hujahan masing-masing dalam Debat Perdana malam tadi.
Namun perdebatan antara Najib dan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sangat dinanti-nantikan, kata penganalisis politik, Mujibu Abdul Muis.
Beliau berpendapat, jika perdebatan pada malam tadi boleh dilakukan di kala keadaan politik negara semakin terbuka, mengapa tidak ada usaha Najib bersemuka dengan Dr. Mahathir.
Ajakan berdebat antara Najib dengan Dr. Mahathir pernah dikemukakan pada 2015 namun tidak disahut oleh Najib, katanya.
Alasannya ketika itu tidak sesuai Najib berdebat dengan seseorang individu dari parti politik yang sama selain langkah untuk menjaga nama baik kerajaan dan juga parti.
Ajakan berdebat itu juga dibatalkan atas faktor-faktor keselamatan.
Kata Mujibu, sebagai bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, perdebatan Najib dengan Dr. Mahathir lebih dilihat bagai buku bertemu ruas.
Menjawab persoalan wartawan, beliau berkata: “Bagaimanapun mungkin dari satu segi itu seperti ketidaksetaraan kerana Anwar tidak pernah menjadi Perdana Menteri atau mengepalai kerajaan sepertimana yang pernah dipegang oleh Najib dan Dr. Mahathir”. – MalaysiaGazette.