SEPANG – Remaja Sindrom Down yang dikenali dengan nama Bella kini semakin pulih dan mempunyai keyakinan diri.
Remaja berusia 13 tahun itu sudah mula bergaul dengan rakan-rakannya, malah sudah semakin kenal dengan sesiapa yang ditemui.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, Bella juga boleh mengingat nama orang-orang yang ditemui dan ia merupakan perkembangan positif.
“Alhamdulillah, baru ni raya pun saya turut berhari raya bersama beliau dan anak-anak di rumah tersebut (pusat jagaan perlindungan kanak-kanak) dan Insya Allah kita akan terus menjaga adik Bella ini supaya dia pulih sepenuhnya.
“…dan alhamdulilah kita tengok dari segi keyakinan diri dia juga dah semakin tinggi.
“Dia dah mula bergaul dengan rakan-rakan dan kita boleh lihat dia kenal semua…ada 80 orang di tempat tersebut, dia boleh ingat nama semua orang, alhamdulillah satu perkembangan yang positif,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan ziarah kasih ke rumah seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, hari ini.
Untuk rekod, Bella sebelum ini didera ketika berada di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Rina secara sinis menegur pihak-pihak yang membuat tuduhan liar berhubung insiden membabitkan Bella.
“Tulah, bila saya senyap orang kata saya tak buat apa-apa. Bila saya keluarkan gambar orang kata saya nak menunjuk-nunjuk, macam-macam.
“Tapi, Alhamdulillah apa yang boleh saya katakan keadaan adik Bella semakin hari semakin baik dan pulih,” ujarnya.
Kisah Bella yang didakwa diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahmad Razali mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan.
Sementara itu, Rina berkata, beliau akan membuat lawatan ke Jabatan Siasatan Jenayah D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Bukit Aman, petang ini bagi mengadakan perbincangan berkaitan hal-hal dan isu-isu berkaitan kanak-kanak.
Tambahnya, dalam usaha menyelesaikan isu membabitkan golongan tersebut ia perlu membabitkan bersama pelbagai pihak supaya matlamat dapat dicapai. – MalaysiaGazette