Home Utama Beroperasi setiap hari, elak Jonker Walk jadi ‘pekan hantu’

Beroperasi setiap hari, elak Jonker Walk jadi ‘pekan hantu’

Jonker Walk menjadi destinasi pengunjung dari dalam dan luar negeri pada cuti hujung minggu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Melaka. Foto AFFAN FAUZI

MELAKA – Pasar malam pelancongan, Jonker Walk di sini bakal beroperasi setiap hari bermula Julai ini bagi mengelakkan ia menjadi ‘pekan hantu’ pada hari biasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo berkata, usaha itu juga bagi memulihkan ekonomi kira-kira 450 peniaga kawasan berkenaan yang terjejas teruk pada era pasca pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya kini masih berbincang bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) untuk mendapat kelulusan itu yang dijangka diperolehi Julai ini.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dua tahun lalu, hampir 95 peratus peniaga terpaksa menutup operasi kerana tidak dapat beroperasi menyebabkan kawasan itu seperti ‘pekan hantu’.

“Sebab itu, dalam fasa peralihan ke endemik ini, kita cadangkan operasi pasar malam pelancongan Jonker Walk yang mempunyai 450 peniaga dilanjutkan kepada setiap hari berbanding sebelum ini cuma pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Jika ini tidak dilakukan, kita bimbang pada hari Isnin hingga Khamis, Jonker Walk akan menjadi seperti ‘pekan hantu’ sedangkan ia mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelancong walaupun pada hari biasa selepas fasa peralihan ke endemik,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Gan Tian Loo

Mengulas lanjut beliau berkata setakat ini, kira-kira 100 daripada 450 peniaga pasar malam pelancongan itu sudah menyatakan kesediaan beroperasi setiap hari bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.

Jelasnya, jika operasi pasar malam pelancongan yang mula dibuka 22 tahun lalu dilanjutkan, ia dilihat mampu melonjakkan ekonomi peniaga yang pernah meraih pendapatan sehingga RM1,000 sehari sebelum Covid-19 dua tahun lalu.

“Kita jangka mampu menarik kunjungan antara 20,000 hingga 30,000 pengunjung sehari pada hari biasa sebagai tambahan kepada sekitar 50,000 ke 80,000 sehari pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Jangkaan ini berdasarkan sambutan baik diterima sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka pada 1 April lalu yang menyaksikan hampir 500,000 pelancong berkunjung ke Jonker Walk terutamanya pelancong dari Singapura,” katanya. – MalaysiaGazette