Home Utama KJ tidak mahu budaya toksik berlaku di hospital kerajaan

KJ tidak mahu budaya toksik berlaku di hospital kerajaan

Khairy Jamaluddin berjumpa dengan doktor pelatih di Hospital Selayang pagi tadi. Twitter KJ

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak mahu lagi budaya kerja toksik berlaku di hospital-hospital kerajaan.

Tegas beliau, zaman dahulu dan zaman sekarang lain.

Hospital-hospital ini sepatutnya mengamalkan budaya kerja hormat-menghormati, saling menyokong dan memperkasakan antara satu sama lain, bukannya melakukan penderaan dan memalukan.

Menerusi ciapannya, Khairy berkata, beliau akan mengumumkan anggota pasukan bebas yang akan diberi masa dua bulan untuk melakukan siasatan berhubung budaya kerja dan isu buli di hospital-hospital kerajaan.

”Petugas khas itu akan membuat syor untuk memperbaiki budaya kerja di hsopital kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujar beliau.

Khairy Jamaluddin tekun mendengar luahan doktor-doktor pelatih di Hospital Selayang pagi tadi.

Dalam ciapannya itu, Khairy turut memberitahu beliau mendengar pengalaman doktor pelatih pagi ini di Hospital Selayang.

”Banyak perkara yang diluahkan kepada saya. Ada jabatan yang mempunyai ‘work environment’ yang bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki,” kata Khairy.

Isu budaya kerja di hospital KKM ini tercetus selepas kes kematian melibatkan seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini.

Doktor pelatih dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan apartmennya.

Kematian doktor pelatih itu hanya tiga minggu selepas dia dihantar ke tersebut menyebabkan KKM didesak oleh pelbagai pihak supaya melakukan siasatan segera untuk mencari puncanya.

Pelbagai pihak berpendapatkan kematian doktor pelatih itu bukan isu biasa lantaran pada tahun lalu juga berlaku kes sama sama. – MalaysiaGazette